Sunday 15 January 2012

Selera

Bismillahirrahmanirahim..


Sebelum ini asyik dengar housemate cakap:
"Aduh tak selera makan pulak.."

Saya pelik sebab, biasanya dialah yang paling berselera kalau bab-bab makan ni.
Saya balas: "alaa, makan je.. lama-lama ok lah tu.."

Housemate pun cuba menyuapkan makanan yang telah tehidang dengan sepenuh usahanya. Tiba-tiba dia bangun, dan menyimpan makanan itu dalam peti sejuk. Tewas rupanya..

Apa sebenarnya selera itu? Appetite?
Selalu mendengar arwah nenek saya berpesan satu ketika dahulu, "makanan, nasi tu habiskan, tak elok tinggal. Nanti nasi lari.."

Nasi lari?
Dengan akal kanak-kanak dan hairannya saya bertanya kepada mak "mak, nasi lari tu macam mana?"
Sekadar melayan pertanyaanku, mak menjawab "nasi lari tu, nanti rezeki susah nak dapat.."
"oooo.." balasku.

Ayah pula, seorang yang tegas. Apabila nasi yang saya makan tertumpah, ayah saya kata "Faiz, dulu kalau tokwan nampak ada nasi yang tertumpah, tokwan mesti marah sangat-sangat.."

Memori saya dengan tokwan tidak banyak. Saya tidak sempat mengenal tokwan kerana hanya beberapa tahun sahaja kami sempat bertemu. Keluarga ayah saya berasal dari Kedah Darul Aman. Negeri yang digelar "Periuk Nasi Malaysia". 

Kadang-kala saya terfikir, mungkin sebab keluarga ayah dahulu pernah merasai bekerja di bendang tanpa alat-alat moden seperti hari ini tokwan saya amat menghargai walaupun sebutir beras atau nasi yang kecil itu. Ditambah pula dengan terik kepanasan cahaya matahari dan begitu keringnya keadaan udara di sana (bagi saya). Sudah tentu beliau sangat menghargai walau perkara sekecil itu.

Berbalik kepada cerita selera tadi. Musim sejuk di Mesir ini merupakan musim sejuk pertama dalam hidup saya. Walaupun orang kata, "Mesir tak sejuk mana pun kalau nak dibanding dengan negara-negara lain.". Tapi bagi saya, 8 darjah celcius pada waktu pagi ini dah cukup membuat saya sukar untuk mengalihkan selimut untuk bangun dari tidur.

Apabila kata ini first time saya berada dalam musim sejuk. Mulalah badan pun cuba untuk membiasakan diri dengan keadaan baru. Sedar tak sedar, 3 hari lepas Allah telah menghantar selsema sebagai ujian pertamaku pada musim ini.

Mula-mula selsema biasa saja, jadi tak kisahlah. Tapi masuk semalam, kepala pun manja-manja nak sakit juga. Alahai, demam aku..

Apabila demam dah mula menusuk tubuh, mulalah tekak rasa loya, pening-pening dan sebagainya. Tak apa, ujian.. ujian..

Dan pada masa inilah, saya baru sedar. Ada nikmat yang Maha Kuasa tarik. Selera makan.. Harapnya sementara. Subhanallah. Inilah rasanya hilang selera makan. Dapat-dapat pula hari ini giliran saya untuk memasak. Allah.. Tak apa, demi housemate-housemate  yang disayangi.. Kesian mereka lapar.

Saya gagahi membuat apa-apa yang patut. Bayangkan orang yang tiada selera makan memasak. Nak rasa pun, aduh. Dalam hati "apa benda aku masuk dalam mulut ni.."

Lalu saya minta tolong housemate, "Luk, pinjam lidah.." haha.

Setelah selesai masak, rasa macam banyak sangat pula saya masak. Mungkin sebab saya yang tak berselera kan.. Tapi sahabat-sahabat lain makan relax saja. Seronok tengok mereka makan. Wah, cemburunya.. :)


Hebatnya nikmat-Nya. Barulah saya faham kata-kata arwah nenek saya, Allahyarhamah Maimunah bt Hashim: "..nanti nasi lari..".
Nanti Allah tarik balik rezeki itu, barulah rasa.. Allah. Membazirnya aku..

----------------------------------------------------------
"BIAR LEBIH, TAK APA?"

Sebenarnya saya hairan dengan kata-kata segelintir orang.
"Makanan tu ambil banyak-banyak, tak apa. Rezeki tu. Tak habis nanti buang je laa.."

Mungkin kerana latar belakang keluarga saya yang amat menekankan keberkatan rezeki itu, saya merasakan apa yang mereka katakan itu tidak patut dilakukan. "Tak habis nanti buang je.." ??

Teringat satu ceramah daripada Syeikh Nuruddin al-Banjari. Beliau bertanya.
"Kita lihat pada sebutir nasi itu. Kalau kita fikir-fikir kembali. Berapa ramaikah hamba Allah swt telah berhajat kepada sebutir nasi itu. Mahu hidupkan sebatang pokok padi itu, perlu biji benihnya, perlu matahari, air, petani untuk gemburkan tanahnya. Apabila sudah matang, perlu dipetik oleh petani. Lalu perlu dihantar ke kilang untuk dipack pula.

Selepas itu perlu dibawa oleh pemandu untuk dihantar ke kedai. Perlukan penjual untuk dijual. Perlukan pembeli untuk membeli. Lalu apabila kita membelinya, kita bawa pulang ke rumah. Kita tanak nasi itu. Setelah ditanak, nasi itu kita hidangkan.

Setelah melalui perjalanan yang jauh ini, apalah rasanya kita buang begitu sahaja nasi tersebut apabila kita merasakan kita tidak mahu?"
Begitu panjang perumpamaan yang diberikan. Cuba kita bayangkan kita pula yang berada pada tempat nasi itu. Dengan harapan yang sangat besar, kita berharap kita dapat berbakti kepada manusia. Dengan tiba-tiba kita dibuang begitu sahaja.. Apakah perasaan kita pula?
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

(Surah alBaqarah:172)
Sahabat-sahabat sekalian, mari renung-renungkan kembali bertapa besarnya nikmat Allah swt telah berikan kepada kita. Cintanya Allah swt kepada hamba-Nya yang lemah ini, Dia kurniakan pelbagai nikmat yang tak terkira. Janganlah apabila nimat kita ditarik sahaja kita mahu kembali pada-Nya. Ingatlah, Dia sentiasa memerhatikan kita. Baik-buruk kita. Mari sama-sama bersyukur.. :)
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

(Surah Ibrahim:7)
Renung-renungkan dan selamat beramal..

Wassalam.. (n_n)

No comments:

Post a Comment